Tuesday, August 8, 2017

Cerpen: Ogos



Waktu itu hujan lebat di saat hati aku kecewa untuk pertama kalinya. Waktu itu juga adalah kali pertama aku merayu padanya supaya kekal di sisi aku. Waktu itu… adalah kali pertama aku merayu sebegitu pada seorang lelaki yang aku benar-benar sayang selain arwah ayah. Namun, seperti selalu dia kekal dengan keputusannya untuk keluar dari hidup aku dan meminta aku lupakan dia untuk selamanya. 

Oh, tak lupa juga, situasi itu berlaku di bulan Ogos. Ogos, 2013 yang telah mencipta memori paling pahit dalam hidup aku. Dan sehingga ke hari ini aku tak pernah lupa saat itu, hujan lebat di bulan Ogos. Waktu yang sama akan membuatkan aku teringatkannya. 

Walaupun aku masih belum melupakan peristiwa yang melukakan hati itu, aku masih mahu melawat tempat itu, tempat terakhir aku bertemu dengannya. Seperti hari ini.

Keadaan sekeliling lapangan terbang di hadapan aku diperhatikan dengan perasaan kosong. Benar, tempat ini telah banyak berubah dari kali terakhir aku bertemu dia di sini. Cuma, yang kekal tidak berubah adalah memori aku terhadap dia. 

Entah berapa lama aku habiskan masa di lapangan terbang kali ini sebelum aku ambil keputusan untuk beredar. Dan waktu itulah mata aku terpandang wajah seiras dia. Tanpa aku sedar, aku ‘dibawa’ untuk mencari susuk tubuh yang punya wajah seiras dia. Sungguh, waktu itu jantung aku berdegup laju. Aku berdebar. Dalam masa yang sama hati aku tertanya-tanya sama ada apa yang dilihat aku itu adalah satu kenyataan atau ia hanyalah ilusi semata-mata sahaja. 

Sehinggalah…

“Kyra…”

Aku menoleh. Jantung aku hampir saja mahu berhenti tatkala melihat gerangan yang memanggil nama aku.

Dia!

Aku lihat dia sedang berdiri, memandangku dengan senyuman, sesuatu yang selalu dia akan selalu lakukan setiap kali melihat aku, kecuali malam itu. Malam terakhir aku melihat dia. 

“Kyra, bukan?”

Aku lihat dia melangkah ke arah aku. Dan aku tiada reaksi pada soalan dan gerak gerinya. Aku kekal kaku di situ, sambil mata padanya. Ingatan tentang dirinya yang aku masih simpan tersangat berbeza dengan apa yang aku lihat ketika ini. Akal aku mahu mengatakan itu bukan dia namun, sepasang mata coklat yang jernih yang pernah memukau hati aku satu ketika dulu mengesahkan siapa lelaki ini. 

Kurang dari tiga saat, jaraknya dan aku hanya beberapa inci saja. Seperti tadi, bibirnya kekal menguntum senyuman. 

“Kyra…”

Tanpa aku sedar, tangan aku menghulurkan satu tamparan pada pipinya. Mata aku padanya untuk beberapa seketika sebelum aku memilih untuk meninggalkan tempat itu. Aku tinggalkan dia tanpa memberi penjelasan pada perlakuan aku terhadapnya tadi. 

!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!


Tiga hari kemudian, aku didatangi seorang tetamu yang tidak asing paras rupanya.

“Aku ingat kamu tak lagi tinggal di sini. Tapi, kamu masih di sini.”

Aku diam, tidak memberi reaksi. Bahkan aku tiada keinginan untuk menjemputnya masuk. Kedatangannya tidak aku alu-alukan lagi. 

Tidak mahu benarkan aku masuk?”Soalnya dengan senyuman. 

Aku geleng kepala, masih tidak mahu bersuara. Aku lihat senyuman ikhlasnya bertukar menjadi senyuman kelat. Tapi aku tidak pedulikan itu. Apa yang aku mahu sekarang ini adalah dia cepat-cepat beredar dari sini. 

“Kamu tentu sangat bencikan aku, bukan?” Soalnya lagi. 

Aku masih seperti tadi, kekal tidak bersuara. Jawapan pada soalannya itu mungkin aku mahu iyakan saja. Dan mungkin juga aku mahu nafikan. Ah, kenapa aku tiba-tiba berada dalam keliru sebegini?

Aku lihat dia mengeluh kecil. “Kyra, tolong…” Matanya pada aku. Tapi aku tak lagi akan mengalah pada pandangannya yang itu. 

Aku geleng kepala lagi sebelum menghempas pintu tepat di hadapannya. Sedikit pun aku tidak peduli jikalau dia berkecil hati atau kecewa dengan layanan aku itu. Dia layak menerima layanan kejam sebegitu. 

Aku andaikan dia akan terus beredar setelah aku menghempas pintu tadi, namun dia masih berada di hadapan pagar rumah aku. Aku lihat dia memandang ke arah aku, seolah-olah mengetahui aku sedang mengintainya di balik jendela. Riak wajahnya kelihatan sayu, seolah-olah ada sesuatu menganggunya. Seolah-olah layanan kejam aku tadi telah berjaya melukakan perasaannya. Dia mengeluh lagi sebelum melangkah keluar dari kawasan rumah aku. 

Keesokan harinya, aku dapati satu jambangan bunga yang mengandungi tiga kuntum bunga matahari berada di hadapan pintu rumah aku. Walaupun tiada kad diletakkan bersama jambangan bunga tersebut, aku tahu siapa gerangan yang ‘menghadiahkan’ bunga kesukaan aku itu. 

Dia!

Siapa lagi jikalau bukan dia. Hanya dia saja yang tahu bunga matahari adalah bunga yang paling aku suka diantara bunga-bunga yang terdapat dalam dunia ini. 

Begitulah hari-hari aku yang seterusnya. Setiap kali aku keluar bekerja, aku akan menyedari kewujudan jambangan bunga itu dihadapan pintu rumah aku.

Sehinggalah ada satu pagi itu, aku sedari dia sedang menanti aku dengan jambangan bunga matahari di tangan di saat aku baru saja melangkah keluar untuk bekerja. 

“Selamat pagi, Kyra!” sapanya dengan senyuman mesra. 

Seperti selalu, aku akan abaikan kewujudannya.

“Mahu aku hantarkan kamu ke tempat kerja?” Dia bersuara lagi sambil menuruti langkah aku ke perhentian bas.

Aku berhenti melangkah, menoleh ke arahnya dengan riak tegang. “Berhenti ganggu aku, Kyle!”

Sepertinya amarah aku adalah sesuatu yang kelakar baginya. Aku lihat dia ketawa kecil. Tanpa menghiraukannya, aku meneruskan langkah ke perhentian bas. Dan dia seperti tadi, masih menuruti langkah aku. 

“Ogos adalah bulan kegemaran kita berdua, bukan?” Dia memulakan perbualan tatkala aku sedang menanti bas. Aku seperti tadi, berpura-pura tidak mendengar setiap ayat yang keluar dari mulutnya. 

“Aku tidak pasti jikalau kamu sudah lupa ini. Tapi, hari ini, adalah hari lahir kita berdua, Kyra.”

Terus aku menoleh ke arahnya. Jika beberapa hari yang lalu, hati aku penuh kebencian padanya tapi entah mengapa hari ini, hati aku tiba-tiba berasa sayu mendengar ayatnya yang itu.

“Bagi aku, kamu sudah mati, Kyle.” Tanpa aku sedar, mulut aku mengeluarkan ayat sedemikian. Dan ayat itu telah membuatkan riaknya terus berubah “Kamu mungkir janji, Kyle.””

“Aku boleh jelaskan semuanya, Kyra.”

Aku geleng kepala. Walau apa jua penjelasan yang Kyle bakal lontarkan tidak lagi bermakna bagi aku. Aku bangun apabila bas yang dinanti telah tiba. Tanpa mengucapkan selamat tinggal, aku menaiki bas tersebut. Aku sempat lihat wajah Kyle yang muram sebelum bas berlalu pergi. 

20 tahun yang lalu…

“Kita akan selalu sambut hari lahir bersama-sama. Janji?”

Dua jari kelingking berpaut tanda janji dimeterai.

“Janji dengan aku, yang kamu tak akan pernah tinggalkan aku, Kyle.”

“Aku janji!”

Sekali lagi dua jari kelingking berpaut.

“Dan aku janji, jika aku terpaksa tinggalkan kamu satu hari nanti, aku akan cari kamu kembali.”

Namun, Kyra lupa janji Kyle yang ini. 

Habis!


Reenapple: Maaf, aku busy lately sampai Takde mood nak sambung tulis Biasa. Adehh. Kena cari mood menulis manuskrip tu balik. Nanti akan di update as soon as possible. 



6 comments:

  1. dibiarkan sepi tu membuatkan hati jadi mati 😐

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum saudari.. boleh saya tahu apa itu prolod dan bagaimana mahu tulis prolog? ^_^

    ReplyDelete
    Replies
    1. Prolog yg saya faham adalah pengenalan kepada Bab Bab Yang bakal diceritakan nanti.

      Selalunya prolog dibiarkan tergantung dengan persoalan until diberitahu jawapannya Di Bab Bab novel.

      Hope this can help you.

      Delete
    2. Thank you saudari.. saya baca novel saudari di sini.. saya baca M.. 3 tahun.. saya suka.. prolognya buat saya ingin baca bab seterusnya.. saya ingin tahu.. adakah prolog boleh ditulis satu ayat, satu lirik lagu, satu warkah surat atau mesti tulis panjang? ^_^

      Delete
    3. Prolog selalunya hanya 1 muka surat saja. Perlu buat reader tertanya-tanya prolog tu tentang apa. And it could be whatever you mention above.

      Delete

Daun lili daun keladi
Kalau sudi, sila komen lagi.