Thursday, February 26, 2015

Kedua #15


Amir tiba di Villa Lilium dengan ditemani Daniel, pengawal peribadi Daddy-nya. Dia mengeluh tatkala melihat keadaan banglo mewah itu Banglo pemberian arwah datuk Zara sebagai hadiah perkahwinan mereka. Keadaan banglo itu gelap gelita. Tentunya Zara belum pulang. Silap, Zara takkan pulang lagi ke sini mungkin. Mummy beritahunya bahawa Zara tiba di rumah keluarganya dengan beg baju. Tentunya Zara mahu menetap di situ untuk sementara waktu.

“Tuan?” Daniel bersuara tatkala mereka tiba di ruang tamu. Anak majikannya itu mendiamkan diri tadi.

“Apa kata kau balik je?” Cadang Amir pada Daniel.

Daniel menggeleng. Dia harus menjalankan tugas yang diberikan padanya.


“Tan Sri minta saya awasi tuan sehingga esok pagi.”


Amir menarik nafas. Daniel mengikut arahan. Nampaknya dia tetap tidak boleh keluar berjumpa dengan Tania. Fikirannya tidak tenang. Dia perlu keluar namun dengan Daniel ada di sini, tentunya susah untuk menyelinap keluar. 


“Aku nak naik atas. Kalau kau lapar, pergi je dapur.”


Daniel menggangukkan kepala.

Amir mengeluh sekali lagi. Dia berjalan ke biliknya dengan malas. Sunyi sepi melanda dirinya. Akhirnya dia ke bilik pakaian. Bilik yang agak besar saiznya, kemas dan dipenuhi dengan barangan peribadi milik Zara dan miliknya. Diperhatikannya ruang Zara, gaun-gaun mewah pemberian Mummy tergantung rapi. Zara sememangnya disayangi Mummy. Dia juga sedar ada beberapa penyangkut baju tergantung kosong di satu petak. Tentunya Zara mencapai mana yang patut. Banyak juga petak kelihatan kosong di ruang Zara.

Tiba-tiba matanya terpandangkan satu kotak berwarna kelabu tertulis ‘Zara Punya’ di petak bawah, lalu dia melangkah ke arah kotak itu. Diangkat penutup kotak itu, ada kamera DSLR milik Zara dalam kotak itu dan satu lagi kotak kecil di dalamnya. Diambil kotak kecil, dibukanya, ada gambar-gambar yang diambil oleh Zara. Amir mengukirkan senyuman. 

Dia bersila di lantai sambil tangannya membelek gambar-gambar tersebut. Ada gambar Zara bersama Sarah, tapi kebanyakannya gambar-gambar pemandangan. Dan bila tiba di satu gambar, Amir telan air liur. Dia kemudian membelek lagi gambar-gambar lain. Semua gambarnya. Entah masa bila Zara mengambil gambarnya, dia tidak tahu. Berdasarkan latar belakang gambar tersebut, tempat itu kelihatan di Rome, Italy. Tempat dia dan Zara kali pertama bertemu.

Amir mengukirkan senyuman apabila mengingati saat perkenalan dia dengan Zara. Pertama kali dia melihat Zara adalah ketika penerbangan ke Rome. Dia ke sana atas urusan perniagaan. Zara ketika itu duduk di sebelahnya. 

Amir mengeluh bila ingat memori itu. Banyak kenangan bersama Zara yang dia langsung tidak mahu ingat. Sikap Zara pada kali pertama bertemu langsung tidak berubah saat ini. Masih bersikap dingin denganya. Kadang-kadang dia tertanya apa kelebihan Zara sehinggakan keluarganya menyayangi isterinya lebih dari dirinya. 

Bunyi telefon bimbitnya mematikan lamunan Amir. Dia biarkan sahaja panggilan itu apabila menyedari si pemanggil adalah Tania. Dia tiada mood untuk berbual dengan wanita itu. Dia teringatkan kata-kata neneknya tadi. Masalah betul! Buat apa dia mahu fikir lagi. Dia cintakan Tania bukan Zara. Buat apa mahu fikir lagi? Tania yang dia pilih. Esok harus beritahu Tan Sri Ridzuan siapa yang dipilihnya.

Kejap Mir, baik kau fikir baik-baik. 

Nak fikir apa lagi? Aku dah pilih Tania.

Kau pasti ke Tania akan membahagiakan kau?

Habis, dengan pilih Zara akan membahagiakan aku?

Sekurangnya Zara disayangi keluarga kau.

Tapi aku tak cintakan Zara dan Zara juga sama.

Cinta boleh dipupuk, Mir.

Amir mengeluh sekali lagi. Memikirkan antara siapa yang perlu dia pilih benar-benar memenatkan dirinya. Hatinya memilih Tania. Pasti! Tapi jauh di sudut hatinya, Zara pula mahu dipilihnya. Dia mengemas gambar-gambar yang bertaburan di lantai sebelum memasukkan kembali ke dalam kotak kecil yang terletak di hujung kakinya. Kotak kecil itu kemudian dimasukkan kembali ke dalam kotak milik Zara.

Di saat dia sedang memasukkan kembali kotak kecil itu, Amir menyedari sesuatu di bawah kamera DSLR Zara. Jaket kulit miliknya! Diambilnya jaket itu. Benar, itu jaket kulitnya yang pernah dia tinggalkan di dalam kapal terbang dek terkena muntah Zara. Kenapa Zara masih menyimpannya lagi?

Ketika dia asyik membelek jaketnya itu, sehelai kertas jatuh ke lantai. Amir mencapai kertas itu.

Jaket ini milik Mr. Disaster. Berlagak gila tak nak lagi jaket ini. Kononnya dah kotor dan mampu beli yang lain. Jangan harap aku nak bagi balik bila jumpa dia lagi. Menyampah!

Amir ketawa sendirian apabila membaca nota itu. Di hujung nota itu ada symbol lelaki yang berambut tajam, dia rasa itu merujuk dirinya. Rupanya Zara punya sisi sebegini selain sisi dingin dan ego. Dia senyum lagi. Nampaknya dia perlu cuba mengenali Zara Amani ini!



2 comments:

  1. Lama aku x jenguk sini weh. One stop cerpen, ghendunyaaaa

    ReplyDelete

Daun lili daun keladi
Kalau sudi, sila komen lagi.