Thursday, January 29, 2015

Kedua #1




Tubuhnya dilemparkan ke sofa. Dia terkesima namun dia hanya mampu mendiamkan diri sahaja. Sudah acap kali dia diperlakukan sebegitu. Diherdik dengan kata-kata yang mampu mencabar keegoannya namun dia sabar sahaja. Pesan arwah datuk, jangan sesekali menunjukkan rasa marah terhadap suami. 

“You bagitahu I, apa sebab you buat macam tu tadi?” Suara lelaki di hadapannya begitu kuat, mampu mencairkan tahi telinga yang telah lama bertakung dalam telinganya. Namun dia hanya mendiamkan diri sambil mengukirkan senyuman sinis.

“You bisu ke? I sedang cakap dengan you ni!” Amir meninggikan suaranya. Hatinya benar-benar panas dengan tindakan wanita di hadapannya ini. Sengaja mahu memalukan dirinya. Dia benar-benar malu dengan kejadian tadi.

“I’m talking to you, Zara!” Kali ini kesabaran Amir sudah sampai ke tahapnya. Dicengkam pipi Zara dengan kasar, membiarkan muka wanita itu menghadapnya. Ditenungnya anak mata Zara, tiada rasa bersalahkah wanita ini? Akhirnya dia lepaskan cengkamannya itu. Tiada gunanya berkasar dengan Zara . Wanita ini terlampau ego.

“I hate her!” Ayat itu yang terkeluar dari mulut Zara .

Amir memandang isterinya dengan rasa hairan. Benci? Mengapakah?

“Apa yang you cakap ni? You benci dia, sebab tu you simbah air kat dia?” Amir memandang Zara . Takkanlah Zara tahu hal sebenarnya?

“I. Hate. Her!” Zara berkata dengan tegas. Benci betul mengingatkan kejadian tadi. Belum pernah dia diperlakukan sebegitu dan untuk kali pertama, tamparan hinggap di pipinya. Ah… bedebah betul perempuan itu!

“Why?” Amir cuba mengorek rahsia. Risau barangkali jika Zara tahu hal sebenar. Mungkin akan diberitahu keluarganya. 

Ah… tak mungkin! Zara Amani yang dia tahu adalah seorang yang berhati dingin. Tidak kisah apa yang berlaku asalkan tidak membabitkan diri wanita itu. Itu yang dia faham tentang wanita yang baru tiga bulan menjadi isterinya.

Zara mengukirkan senyuman sinis. Mahukah diberitahu hal sebenar? Hal yang dia sendiri telah tahu. Namun sungguh, dia tidak menyangka Tania sanggup bertemu dengannya, memberitahu hal yang dia sendiri telah tahu. Tapi yang paling dia langsung tidak menyangka, perempuan itu sanggup ‘menyentuhnya’. Bedebah betul!

“I nak balik!”Dengan dingin Zara berkata tanpa memandang langsung Amir. Hatinya teramat bengang saat ini. Tiada guna memberitahu lelaki itu sebab mengapa dia bertindak sedemikian pada Tania. Sekurangnya dia menyimbah air sahaja, walau dia mahu buat lebih dari itu.

Amir menarik nafas sedalamnya. Jujur, dia tidak mampu bersabar lagi dengan perangai Zara Amani. Dari saat pertama kali bertentang mata dengan wanita itu, selalu sahaja wanita itu akan membuatkan dirinya bengang. 

“I nak balik.” Zara menuturkan ayat yang sama. Tiada guna lagi berada di majlis ini. Segalanya akan membuatkan dirinya berada dalam kebosanan yang terlampau. Majlis yang dipenuhi dengan orang-orang kenamaan atau dalam erti kata lain, majlis formal sememangnya akan membosankan dirinya. 

Gaun biru gelap yang disarungkannya diperhatikan. Cantik! Punya ibu mertua yang merupakan pereka fesyen terkenal sesuatu yang menguntungkan. Sekurangnya dia tidak perlu berbelanja banyak untuk membeli pakaian sebegitu. Ibu mertuanya akan menghantar baju baru yang direka padanya. Dia tahu itu setiap kali melihat almarinya yang dipenuhi dengan pakaian baru.

“Bos…” kedengaran suara seorang lelaki di balik pintu. Amir dan Zara menoleh. Kelihatan Hilmi, pembantu peribadi Amir melangkah masuk. Pintu di belakang ditutup perlahan-lahan.

“Sediakan kereta. Hantar Cik Puan balik,” arah Amir. 

“Dan bos?” Soal Hilmi. Dipandangnya isteri majikannya. Kelihatan tenang sahaja. Dia tahu hal sebenar yang berlaku di antara suami isteri ini.

“Aku akan balik kemudian. Ada hal nak diselesaikan,” Amir membalas sambil mindanya ke arah Tania. Sudah pulangkah Tania?

Hilmi menganggukkan kepalanya. Diperhatikan sekali lagi isteri majikannya. Ada kesan tamparan di pipi wanita itu dan dia yakin majikannya tidak menyedari hal itu. Apa yang majikannya lihat tadi, hanyalah sebahagian sahaja. 

Zara mengangkat punggung. Dia memandang Amir yang masih dengan rasa marah terhadapnya. Dia tahu itu. Muka lelaki itu kemerahan. Ah… bukannya dia bunuh perempuan kesayangan lelaki itu pun. Dan Zara yakin, Amir tak akan mempercayainya sekiranya dia memberitahu hal sebenar.

“Pastikan dia pulang ke rumah,” sekali lagi Amir memberi arahan sebelum melangkah keluar dari bilik rehat untuk VIP itu.

Zara mengeluh sebelum berjalan ke arah pintu. Hilmi membuka pintu untuknya. Dia hanya mampu mengukirkan senyuman tawar pada lelaki itu

“Puan… saya rasa ais mampu hilangkan rasa sakit di pipi puan.”

Zara memandang Hilmi. Adakah Hilmi tahu apa yang berlaku sebentar tadi? Dia mahu bertanya tapi didiamkan sahaja. Dia tiada mood untuk bersuara.



2 comments:

Daun lili daun keladi
Kalau sudi, sila komen lagi.