Tuesday, June 3, 2014

Kasih Sayang


Kadang kadang dia mahu saja menyerah kalah untuk teruskan hidup. Mahu saja mematikan diri dan mungkin dengan itu tak akan pernah lagi mampu menyusahkan mana-mana pihak.

Dia sedar, dari kecil sampai sekarang  hidupnya selalu menyusahkan mereka mereka di sisi. Dan itu bukan atas kehendaknya. Itu bukan yang dia mahu. Bukan dia mahu Ibunya dibawa pergi sejak kecil. Bukan dia mahu jika dia tidak pernah merasakan kasih sayang dari seorang lelaki yang katanya adalah Ayahnya.

"Apa yang kau tahu dengan aku yang sedaya upaya cuba menjadi kuat, tapi tidak kuat-kuat juga?"

Aku baca statusnya hari itu. Sedih, kecewa yang aku tahu hanya Tuhan saja yang tahu perasaannya tika itu.


Mereka mungkin lihat dia kuat tapi hatinya, Tuhan saja yang tahu. Malam itu dia menangis teresak-esak di corong telefon. Mengadu itu, mengadu ini. Dan lalu aku katakan...

"Pernah kau bersyukur dengan apa yang DIA bagi pada kau?"

Dia diam. Tangisannya terhenti seketika.

"Adakah kau rasa dengan punya Ibu Bapa di sisi, harta benda di dunia,  barulah kau dapat rasakan kasih sayang DIA?”

Aku ucapkan itu. Yang sebetulnya aku ambil ayat dari satu buku yang aku pernah baca.

Dia masih diam.

“DIA berikan apa yang kau perlukan saja. Tidak bermakna DIA tidak sayang kau jika kau selalu bersedih atas takdir-NYA. Tangisan kau satu cara untuk DIA tunjukkan kasih sayangNYA pada kau.”

Dan aku mula menceritakan kembali kisah hidupnya. Itu yang dia mahu jika satu waktu dia terlampau bersedih. Aku ceritakan tentang keluarga yang membesarkannya walau bukan keluarga kandung. Aku ceritakan tentang ibu-ibu saudara yang menjaganya, memeliharanya, memberi kasih sayang walau aku tahu itu sepatutnya tugas seorang ayah.

“Aku tak rasakan kasih sayang dari dia,” dia balas dengan tangisan selepas menceritakan sikap seorang Ayah yang mana pernah ambil penduli akan halnya sejak kecil.  Dan baru sekarang lelaki itu cuba menunjukkan rasa pendulinya pada anak kecil yang pernah dilepaskan saja tanggungjawabnya. Katanya dia, semuanya sudah terlambat. 

“Tapi kau rasa bukan kasih sayang DIA?” 

Dia diam lagi. Perbualan kami terhenti di situ. Tidak aku ketahui sama ada aku atau dia yang menamatkan perbualan. Tapi aku tahu dia cuba kembali kuat.

Kawan, ujian kita lain-lain. Kau macam itu, aku macam ini. Tapi kita harus kuat bukan? Untuk apa yang berlaku, tentu ada hikmah yang menanti kita satu hari nanti. Kita percaya itu. Kita percaya kuasa dari DIA. 

Aku harap kau kekal kuat dan tabah.



5 comments:

  1. Ujian didatangkan untuk kita jadi kuat, walaupun sejak azalinya kita memang diciptakan lemah.

    *makan aiskrim*

    ReplyDelete
  2. Terkena batang hidung sendiri. ..

    ReplyDelete
  3. dahulukan Allah lebih dari segalanya. kau akan sedar betapa kau memerlukan Allah..

    ReplyDelete
  4. Saya akan cuba untuk kuat lagi .Insya-Allah :)

    ReplyDelete

Daun lili daun keladi
Kalau sudi, sila komen lagi.